Kursus Penyediaan Surat Rasmi dan Cara Pencetakan

25 Oktober 2018 | Aktiviti Terkini

Pada tarikh 24 Oktober 2018, Pusat Internet RPR Bandar Baru Permyjaya telah mengadakan satu kursus penyediaan surat rasmi dan cara pencetakan kepada peserta. Kursus ini telah disertai oleh ahli-ahli pusat internet yang berumur di dalam lingkungan 18 – 35 tahun.

Kursus ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan asas kepada peserta tentang cara-cara penyediaan surat rasmi untuk pelbagai format seperti surat permohonan, surat makluman, surat jemputan dan lain-lain. Selain itu, peserta juga diajar cara-cara pencetakan hitam putih dan juga berwarna.

Sepanjang sesi kursus dijalankan, peserta turut diberi peluang untuk belajar secara praktikal. Mereka dikehendaki menaip contoh surat rasmi yang telah diterangkan oleh petugas. Peserta turut diajar untuk memilih format surat rasmi yang betul bersesuaian dengan urusan pejabat dan lain-lain. Penghasilan surat rasmi yang ringkas dan padat menyampaikan mesej dengan tepat dan berkesan. Di samping itu, penggunaan bahasa yang sesuai amat perlu supaya mesej yang disampaikan mudah difahami.

Secara kesimpulannya, kemahiran yang diperoleh dari kursus penyediaan surat rasmi dan cara pencetakan ini dapat digunakan peserta dalam mana-mana skop pekerjaan dalam penghasilan dokumen surat rasmi yang kemas dan jelas.

 

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

 

 

 

Kembali Ke Atas

kembali